Monday, 7 May 2012

Suci dalam Debu

Jazakallah… Fokus pekerja kontrak memungut sampah ni sangat tinggi. Sapaan “Thank you,” aku langsung tidak diendahkan. Dari fizikal mereka, bukan lah orang tempatan. Walau dari mana asal mereka, wajib kita berterima kasih. Setidaknya ada orang sanggup bekerja ‘membersihkan’ sampah kita.
Sedang pintu rumah sampah itu ditutup, seekor makhluk bingkas terbang menyelamatkan diri. Lipas! Lansung aku teringatkan ketika zaman kolej ku dulu, pasti sahabatku Faisul bertempiaran lari keliling rumah ketakutan akan lipas terbang. Dan aku turut setuju, bukan sahabatku sahaja yang lipas-fobia, namun majority manusia benci akan lipas. Geli, busuk, jijik dan pengotor.
Pengotor ke? Seorang professor dari Taiwan tidak setuju dengan pandangan ‘pengotor’ ini. Lipas dilazimi sedemikian kerana istilah pengotor itu adalah perilaku mengetori fizikal dan sekitar dan melibatkan diri dengan suasana bersampah. Namun hakikat dalam kajiannya membuktikan lipas adalah makhluk pembersih.
Tabiat lipas menyara hidup dengan berkongsi makanan dengan manusia dan binatang peliharaan dirumah kita. Lipas tidak memilih, berkongsi makanan dirumah kita; terhidang mahupun sisa. Tetapi lipas amat pentingkan kebersihan diri. Setiap kali selesai makan dan merayau-rayau, pasti ia membersihkan seluruh badannya dari kotoran yang terpalit. Sesungut dan kaki-kakinya dijilat, muka dan seluruh badannya disapu dengan sesungutnya. Amat berbeza perilakunya dengan serangga lain seumpama lalat.
Namun hakikat disenaraikan sebagai serangga perosak mencalarkan reputasi lipas. Kajian saintifik menunjukkan lipas antara spesis klasik yang masih wujud hingga hari ini. Memiliki daya tahan tinggi terhadap suhu, cuaca dan bencana alam. Badannya mampu dipipihkan agar mampu terus hidup bila tertindih. Hanya lipas betina mampu terbang – kelebihan dalam bersaing hidup meneruskan zuriat. Allah menjadikan kantung telurnya memiliki ketahanan yang luar biasa bila dibandingkan dengan saiznya. Menghasilkan bau busuk merupakan mekanisme survival bagi lipas.
Islam mendidik kita agar sentiasa melihat kebaikan dalam sesuatu perkara. Wajarkah kita menilai pekerja kontrak memungut sampah kita itu sebagai pengotor? Dengan memberikan suatu nilai kepada makhluk yang lain kita sebenarnya member nilai terhadap diri kita sendiri. Ya Allah, rahmatilah kami dan orang-orang yang kami sayangi, berkatkan hidup mereka kerana nasihat mereka untuk kami, amin…

Pedoman Sisipan:
Sabda Nabi S.A.W., “Sesungguhnya Allah Azzawajalla adalah mulia. Ia menyukai kemuliaan. Ia juga menyukai akhlak yang tinggi dan benci akhlak yang rendah.” – Riwayat al-Tabrani

Wednesday, 21 March 2012

Kejutan Kudrat


Laila ha ilallah … Waktu sudah melewati dua pertiga malam. Suntikan kopi Vietnam yang dihadiahkan sahabat masih segar terasa di tekak, nikmat. Sudah beberapa ketika mata menatap skrin komputer menyiapkan kerja. Belum ada tanda-tanda mahu berlabuh mata ini.
Tapi, apa itu? Nun di tepian tikar buluh yang hitam ini, ada seakan kerdipan halus berwarna putih kekuningan. Aku gamit dekat-dekat. Subhanallah, semut rupanya. Sedang asyik melarikan sisa biskut yang dimamah anakku tadi. Hebat, diangkat cebisan itu satu-persatu, seragam dalam barisan yang teratur. Ada seekor yang sedikit tercicir ke belakang, mungkin kerna cebisan yang dipikulnya jauh lebih besar, tapi dengan izin Allah, semut kerdil ini mampu memikulnya sendirian.


Mereka tiada berakal, tapi mind setnya tinggi. Taat setia pada permaisuri (ketua) sedia berkhidmat untuk keluarga. Berusaha tanpa berkira siapa buat kerja lebih, tanpa riak bangga, tanpa mengharap balasan yang lebih. Antara makhluk yang sentiasa di jalan yang ‘lurus’.
Kita juga harus begitu. Mind set kita harus tinggi dan sentiasa uji kemampuan kita. Sesungguhnya kekuatan luar biasa dating daripada akal, bukan dari fizikal. Lihat saja adik-adik kita pulang dari sekolah memikul suatu luar kemampuan usia mereka. Haruslah kita miliki sifat ihsan dan rasa belas kasih.
Ketika aku dalam kelab kembara zaman sekolah dulu pun Cikgu Cheng ada bagi tips perkemahan; ‘Berat beg camping jangan melebihi 1/3 daripada berat badan individu’. Manusia bukan macam cimpanzi; seekor dewasa kudratnya menyamai 6 orang manusia dewasa.
Nak spray (racun) ke kawanan semut tadi? Semut antara makhluk yang dilarang membunuhnya, tapi ada keharusannya di dalam rumah semata selagi ia mengganggu kehidupan kita – luar rumah tak boleh! Insya-Allah, menjelang pagi esok selesailah urusan si semut ini, biarkan lah. Ya Allah, rahmatilah makhluk-Mu, cukupkan kami dengan sedikit daripada nikmat-Mu….

Sabda Rasulallah bermaksud; Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu (perkara) – Riwayat Muslim.

Sunday, 26 February 2012

Murahnya si Pemurah

Murah Si Pemurah
Alhamdulillah, setiap jemari ku hisap sisa pulut durian bersantan: mengambil sunah Rasulullah S.A.W. Kesempatan begini harus direbut tiap kali musim buah tiba. Cuma, kerana sedikit malas untuk memasak pulut, aku singgah di tepian jalan tadi membeli lemang. Sekarang, bukan musim perayaan pun, lemang boleh dibeli dimana-mana. Tiba-tiba terdetik di hati ini; mengapa mesti habis madu sepah dibuang, sedangkan lemang belum dihidang buluh dah terbang?!

Tergamam seketika bila aku mengenangkan nasib si buluh. Tumbuhan yg hebat dicipta Yang Maha Hebat. Membanting aur agar tebing tak runtuh, nelayan sungai selesa membina jeti dipayungi rumpunan buluh. Siapa yang biasa merayap sungai belukar boleh amati sendiri keperibadian pokok buluh ini. Tumbuhnya tidak melata-kemas dalam rumpunan. Beranting halus tidak berdahan-berdaun tirus. Tumbuhnya tegap lurus-lentur dibuai angin. Teduhan rumpunan buluh ini lapang, jarang untuk ditemui hutan buluh dipenuhi semak tumbuhan renek. Batangnya beronga dan beruas-ruas, menjadikan batangnya kukuh dan tidak patah-putus seperti dahan kayu.

Lihat pula manfaat darinya. Dari rebung lagi digulai lemak bersama perut lembu. Batangnya manusia manfaatkan habis-habisan; membuat rakit, pangkit yang nyaman, pondok-dangau, tiang, para, dibelah-diketuk dihampar menjadi dinding dan lantai. Dulu bangunan kukuh dibina dengan alangnya, galah, tangga, bubu, tiang antena, bidai serta tikar, dan yang kita gemari; lemang! Zaman kanak-kanak, aku manfaatkan menjadi pelita, obor dan bermain bedil. Ada juga yang mencari rezeki dengan menjadikan kraftangan dengannya. Kenangkan sendiri, terlalu panjang senarai untuk aku urai satu persatu.

Tapi berapakah nilainya?! Semahal Jati, Cengal, Nyatuh atau percuma? Kalau lemang sudah tentu mahal pulut dari buluhnya. Kelapa yang jatuh di kait, kita nikmati penuh selera, galahnya pergi ke mana? Sesal aku ketika kecil dulu banyak buluh aku bazirkan untuk menang pertandinagn menghias khemah ketika Jambori.  Kita terlalu gelojoh hingga lupa bersyukur akan nikmat Allah melalui buluh-buluh ini. Hidupnya tidak menyusah hidupan lain malah terlalu banyak memberi manfaat. Kita manusia harus hidup berjasa seperti buluh. Nilai jasa kita itu, biarlah Allah menghitung kira. Ya Allah, masukkanlah kami dalam golongan hamba Mu yang bersyukur dengan sedikit dari nikmat Mu, amin.

Pedoman Sisipan:
Sabda Nabi S.A.W., “Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah, Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat serta Allah menolongnya selagimana hambanya berusaha menolong saudaranya.” – Riwayat Muslim

Israk Mikraj - ujian keimanan umat Islam

Sesuatu yang ku baca pagi isnin ini... dan aku kongsikan disini... Bacalah... dengan nama Allah yang maha Pengasih dan maha Pemurah..

...

Manipulasi Peristiwa Israk Mikraj dalam Karya Sastera Arab dan Barat: Satu Analisis Terhadap Al-Maqamah Al-Iblisiyah, Al-Tawabi' Wa Al-Zawabi', Risalat Al-Ghufran dan The Divine Comedy. KEMANUSIAAN The Asian Journal of Humanities, Universiti Sains Malaysia (USM). Volume 18, No. 1, 2011. ISSN: 1394-9330. pp. 53-76.


....

InsyaAllah..

Monday, 9 January 2012

Akal Tertipu

Akal Tertipu
Alhamdulillah… Selesai sudah mencuci kereta. Dibasahi dengan Rahmat (hujan) Allah turunkan tadi, tinggal disabun dibilas saja. Puas hati dengan usaha sendiri, aku duduk dalam bayang pokok kelapa gading, menikmati redup melayan penat.
Waktu begini kita pasti ralat (kecewa) kalau ade dedebu atau dedaun singgah mencemar duli. Tiba-tiba nampak kelibat seekor pepatung tertarik dengan kemilauan kereta aku. Nama rasminya sibu-sibu tapi di kampong aku, orang panggil ‘Dragonfly’. Aku kagum dengan makhluk Allah yg kerdil ini. Antara sebabnya kitaran hidup dua alamnya. Siapa yang pernah layan paya memburu puyu, haruan atau ‘ikan kareng’ menggunakan tangguk pasti senang tertangkap pepatung ‘junior’ ni.
Ralik aku tersentak bila tiba-tiba pepatung ni ‘breakdance’ atas hud kereta. MasyaAllah, tertipu rupanya si pepatung ni dengan hud kereta aku yang jenih memantul tu. Tarian kedepan-kebelakang, keatas-kebawah itu adalah perilaku normal si pepatung apabila ia bertelur di muka air. Patuh dengan fitrah Allah ke atasnya, sentiasa mencari air yang tenang untuk melahirkan zuriatnya. Tidak di air laut, tidak di tanah, dan tidak di tong sampah.
Makhluk kerdil ini bisa akur dengan fitrah Allah keatasnya, mengapa manusia ada yang enggan. Pepatung ini tidak berakal, tertipu dengan kejernihan kereta yang baru dicuci, tetapi manusia yang Allah kurnia akal tetap dan masih ditipu dunia dengan hasutan dan godaan. Anak-anak kecil dibuang merata tempat tiada ihsan untuk mereka. Yang kehilangan nyawa, merentap hati aku setiap kali berita ku baca. Nasihat Rasullullah dalam melatih ihsan dalam hati, tatapilah wajah Ibu kalian ketika tidur, tatapilah wajah anak kecil yang sedang tidur. Ciumlah mereka.
Kasihan si pepatung, tertipu dengan keindahan duniawi, yakin anak-anaknya akan menetas dan hidup dalam fitrah sepertinya. Kasihan manusia yang Allah darjatkan dengan akal, mudah sungguh menuruti nafsu, tunduk pada hasutan syaitan. Hanya dengan ilmu, akal dapat dimuliakan. Ampunkan dosa-dosa kami ya-Allah, kurniakan setiap daripada kami Taufik serta Hidayah Mu, astaghfirullah…

Pedoman Sisipan:
Sabda Nabi S.A.W., “Sesiapa yang tidak mengasihani manusia, nescaya Allah ‘Azzawajalla tidak mengasihaninya.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hati Masin

Hati Masin
Alhamdulillah… Malas nak makan berat-berat malam ni, me segera pun dah cukup. Mungkin, lepas solat maghrib tadi dapat bercakap dengan mak di telefon, terubat kerinduan walaupun baru seminggu lepas pipinya ku cium.
Mak + Rindu + Makan Malam = Kari kepala ikan Merah masakan mak tiba-tiba melintasi kotak memoriku. Sedap sungguh! sentuhan tangan mak cukup tersendiri. Pernah aku terfikir, kenapa bukan sebarangan ikan dapat memberikan umph! dalam masakan kari ni… Siakap, Kerapu, Indian Halibut (ikan sebelah) hanya menyerlah keunikan rasa dan jalinan isinya pada resipi yang tertentu.
Macam manusia jugalah. Allah jadikan manusia itu sejenis, namun memiliki keperibadian, kemahiran, bakat serta tahap ilmu yang berbeza. Kenalkah kita akan diri kita sebenarnya? Itu menjadi wadah pengembaran dan penerokaan hidup ini, aku yakin! Akal perlu dibina, hati perlu diperkasa.
Macam kisah ‘Ikan dilaut dan Ikan dipinggan’; masinnya air laut tak mampu menyerap ke dalam isi ikan seumur hidupnya, tetapi bila ikan telah mati, secubit garam pun sudah cukup untuk memasinkannya…Begitulah hati, hati yang hidup sangat sukar dinodai. Tapi bila hati mati, mudahnya dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif. Secubit dosa mampu merosakkan hati. Dalam hati jugalah diamnya nafsu perlu kita kekangi. Rasional inilah Rasulullah mewasiat pesanan-pesanan agar kita menjaga hati. Hati ini amanah Allah, insyaAllah…

Pedoman Sisipan:
Sabda Nabi, “Perumpamaan umatku adalah seperti hujan; tidak diketahui sama ada awalnya atau akhirnya yang baik.” - Riwayat al-Tirmizi.

Keburukan Hilaian

Keburukan Hilaian
Allahhu akbar, mengeluh aku pada kelemahan diri ini. Bukan lagi remaja sekolah yang lincah mengelecet bola. Allah maha kaya, jasad dan upaya ku kini diatur Allah untuk fitrah yang seterusnya dalam perjalanan hidup ini (GenQ 5 - m/s 32). Kini pengalaman lalu aku kongsi bersama-sama aulad khariah ku bermain futsal. Mereka harus dipimpin, aku perlu memimpin.

Tatkala dengan keriuhhan gelanggang futsal ini, ada pula sisipan halai tawa remaja yang aku fikir mereka hanya  berpeleseran disudut taman rekreasi ini. Ntahkan apa yang terlalu mecuit hati hingga beberapa ungkap kata yang kurang enak luncur dari mulut mereka. Justeru, gelagat mereka mendapat perhatian pengunjung yang lain. Pandangan mereka tajam, menampakkan ketidak keselesaan. Apa saja yang melintasi mereka dijadikan bahan jenaka.

Dalam lamunan ini teringat aku akan perilaku mamalia bernama Dubuk (Hyena). Bukan aku ingin menyamakan mereka dengan makhluk itu, tapi setiap kejadian Allah, haruslah diamati dengan akal yang jernih agar kita terdidik secara lansung. Bukankah Allah maha kaya, mana mungkin ada dalam satu ciptaanNya untuk di sia-siakan.
Majoriti manusia tidak meminati Dubuk; utk jadikan maskot? Logo? Atau icon dalam merealisasikn sesuatu yang positif. Di alam haiwan juga lebih banyak musuh dari simbiosis (mengambil manfaat dari sifat semulajadi). Hidup dalam kumpulan, sifat ganas dan gelojoh sabahagian dari fitrah Allah ke atasnya sebagai haiwan maging. Ia dicipta Allah untuk mempunyai bunyi suara mirip akan hilaian manusia. Sehingga ada masanya, bunyi hilaian mereka menyeramkan.

Sahabat ku, Ning pernah menyampai pada ku risalah himpunan 10 HUKUMAN ORANG YANG BANYAK KETAWA; 1) Dimurkai Allah. 2) Dikutuk para malaikat. 3) Dipalingkan oleh Nabi Muhammad s.a.w pada hari kiamat. 4) Disoal (dihisab) pada hari kiamat perilaku gelak ketawanya. 5) Terbuka aibnya pada hari kiamat 6) Digemari syaitan akan dirinya 7) Dibenci oleh semua penghuni langit dan bumi. 8) Mati hatinya. 9) Hilang Air mukanya (malu dan kemuliaan). Dan yang ke 10-Lupa pada segala-galanya. Iaitu lalai dalam gelak ketawa sehingga lupa akan dia pada persekitaraannya. Sentitivitinya pada insan yang diguraukan, gangguan yang tercipta dari keasyikkan serta hilang nilai ukhwah islamiah yang harus ada pada setiap individu muslim.

Ya Allah, ampunkan dosa ku yang telah lalu dan yang akan datang dengan memelihara ku dari melakukan kemaksiatan. Aku pinjam sedikit kata Ustaz Zahazan Mohamed yang sering kali disebutnya dalam ucapan beliau; “Banyak bercakap, banyak dosa.” Ini juga kerana rentetan dari banyak bercakap boleh mengundang kealpaan sehinggalah gelak ketawa.