Saturday 11 August 2012

Menangguk di Air Jernih

Alhamdulillah... lewat sedikit habis kuliah di surau malam ni. Tak kisah lah sebab pengisiannya cukup bermakna. Antara sisipan yang menyutik jiwa aku tadi adalah tentang perwatakan seorang dari sahabat rasulullah yang diperkatakan amat cengih dan keras dalam pergaulan. Hingga mengakibatkan orang yang datang dari jauh untuk menimba ilmu darinya merasa dangkal dan hilang minat.
"Dekatlah kepada ku kerana ilmu yang ada padaku, bukan menjadikan perwatakan ku sebagai penghalang kepada ilmu yang kamu mahukan!" demikian lebih kurang pesanan dari sahabat rasulullah ini. Aku setuju sangat! Aku sendiri memiliki pengalaman yang tak jauh bezanya di zaman sekolah ku. Cikgu Razali, satu nama yang seringkali teman-teman cuba mengelak dari bertempuh bahu.
Menjadi guru disiplin sekolah, guru AJK Aspura (asrama lelaki), bersuara lantang, pekat dialek Terengganu selatannya, kasar, bertubuh gempal padat, rambut pendek lurus tercacak. Gunting dan rotan tak pernah berenggang dari tangan. Gimik sebenarnya tu. Namun kerana dialah juga aku dan rakan sekelas ku menjadi celik Matematik dalam tempoh setahun dia mengajarkan. Methodnya amat selesa dan berkesan terhadap sebahagian dari kami yang pada asalnya membenci Matematik. Antara kenangan ku dengannya adalah seringkali mengimamkan solat jemaah Maghrib dengan membaca surah Yasin apabila datang menziarahi kami di asrama. Junior pasti ada yang mengeluh~
Hakikatnya bukan perwatakan yang kita nilaikan tetapi manfaat yang dapat kita ambil dari seseorang. Lihatlah kelebihan seorang insan lebih dari kekurangannya. Kurnian Allah pada setiap makhluk jangan lah dibanding-bandingkan, sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Buaya yang kuat lagi ganas pada mangsanya namun halus serta lembut terhadap anak-anaknya. Dibiarkan anak-anaknya bermain di belakang dan dalam mulutnya yang besar. Menjadi ibu yang sensitif, peka mengawasi zuriatnya dari telur hinggalahh anak-anaknye membesar.
Bapa penguin sangup menahan lapar dan sejuk sepanjang waktu mengeramkan telurnya. Kuda laut jantan mengangkut dan mengasuh anak-anaknya dalam perutnya yang bulat. Bila masa si itik berjalan di depan mengepalai deretan anak-anaknya, sebaliknya khinzir hutan mengawasi deretan anak-anaknya dari belakang. Singa menamatkan nyawa mangsanya dengan mulutnya, namun dengan mulutnya juga ia menjinjit mesra anak-anaknya.
Marilah kita menjernih hati, celikan mata dalam mencari kebaikan sentiasa. Ya, Allah, kurnikan kami keikhlasan hati dalam pergaulan kami, semoga Engkau memberkati jalinan ukhwah antara kami. Terima kasih cikgu.



Pedoman sisipan:

Merayau Liar Jangan Dibiar

Astaghfirullah... berderau darah ku yang hanya bersingelet dan berkain pelekat di tika ini. Cemas tak luncur je kain ni!Geli lenganku bergeseran dengan makhluk bewarna hijau dan panjang melentik-lentik. Ia bernyawa tapi mujur tidak melatah seperti ku.
Dalam keasyikkan aku menyidai kain baju diampaian tidak ku sedari ada makhluk yang menjalar pada dawai ampaian ini. Padan dengan muka sendiri, natijah kerana tidak kerap memantau belakang rumah, pokok sayur petola yang ku tanam sekian lama sudah bebas menjalar liar. Next thing in to do list! Siap jemur kain ni harus aku membendung pokok petola ni. Melingko-lingko bahasa kampung aku.
Tertib utama dalam penanaman tumbuhan jenis menjalar seperti ini ialah kita wajib menyediakan tempat untuk ia memanjat. Samada tiang ataupun para yang melintang. Pernah sekali dalam pengalaman ku pergi ke kebun pertanian buah tembikai susu, mereka mengunakan jaring tali diikat dari bawah ke atas bumbung dalam rumah hijau. Kaedah sebegini memudahkan kita memantau tumbesaran pokok, mengawal 'keliarannya' serta mudah untuk mengawasi serta memetik hasil darinya. Buah yang baik datang dari pokok yang terjaga, semua orang suka.
Disini mudah untuk kita faham, pokok yang memerlukan cahaya akan berusaha kearahnya, liar menjalar. Begini jua harus kita melayan nafsu dan akhlak kita. Cahaya umpama keinginan dan matlamat yang dituju. Tiang untuk memanjat tadi diibaratkan seperti ilmu. Tanpa ilmu akhlak menjadi liar. Tanpa ilmu hidup tiada pengangan dan disiplin diri kepincangan. Dengan adanya tertib sebegini, keperibadian dan identiti kita pasti berkualiti seperti buahan dan sayuran segar yang di idamkan. Memiliki akhlak yang baik menjadi keutaman dalam hidup beragama.
Akhlak = Islam = Akhlak! Islam membentuk manusia berakhlak baik. Akhlak yang baik mencerminkan agama Islam. Maka tiada akhlak yang terbaik selain Akhlak Islam. Dan Muhammad Rasulullah itu teladan yang terbaik. Benchmark yang paling tinggi harus menjadi matlamat setiap manusia yang mengaku umat baginda. Jom buat kempen '1 Islam 1 Akhlak' lepas ni! Ya Allah, satukan hati kami dalam agama kami, dalam perjuangan kami.

Pedoman sisipan:
(kisah - Pucuk Pokok menjalar - Pokok Petola - Kacang Kelisa)