Thursday 12 July 2012

Cukup Makan

Alhamdulillah... sedap betul nasi ayam. Rasa sedapnya buatkan rasa nak menambah lagi, tapi ruang perut sudah cukup di isi. Kalau dipaksa diri, nafsu akan menang, nak beribadat nanti gayat nak berdiri. Adakah nafsu ini digerakkan sebab makan ‘free’. Baik menangkan sunah Nabi, berhenti makan sebelum kenyang.
Tapi apsal kekadang kita makan tak kenyang-kenyang, dan ada masa makan seciput pun dah boleh tahan berjam-jam. Dalam satu kuliah, Ustaz Zaharuddin ada jelaskan tanda-tanda ada keberkatan dalam rezeki kita; baik dari kewangan, harta, kesihatan dan makan! Hujah yang panjang boleh dirumus sebegini: Kalau rezeki berkat, kita akan merasa cukup. Contoh!
Orang yang kaya merasa cukup dengan kekayaannya - tidak tamak. Mendermakan hartanya namun kekayaannya tidak berkurangan. Orang miskin yang merasakan cukup dengan pendapatannya; syukur dan redha, tidak berhajat kepada sesuatu yang diluar kemampuannya, diberikan oleh Allah kelapangan hidup dan tidak merasa kekurangan dan kesusahan.
Kagum bila melangkah kaki kedalam Aquaria KLCC, namun lebih kagum apabila melihat pelbagai jenis ikan lautan dicapur bersama didalam satu akuarium. Dari sekecil ikan terumbu karang sehingga sebesar pari manta, penyu, ikan kertang atau groper dan jerung! Sedangkan dikalangan hidupan laut ini merupakan mangsa dan pemangsa kepada satu sama lain, mampu hidup bersama seperti dilaut lepas. Jerung yang besar ini seharusnya bebas meratah ikan yang berlegar-legar sekelilingnya. Ini mungkin kerana ‘cukup makan’, terkawal dan terjadual menjadikan haiwan ini tidak rakus, tamak dan rambang mata. Yang rambang mata, orang-orang yang membayar tiket masuk Aquria ini.
Maka kita seharusnya mengawal dan menjadualkan waktu, jenis, dan jumlah makan kita. Bermula dari sumber makanan (dibeli dengan wang yang halal sumbernya), dimasak secara halal oleh orang muslim, lalu dijamah dengan tertib seorang muslim, lalu bersyukur kepada Allah. Kegagalan kita dalam menjaga aturan ini boleh mencacatkan keberkatan dalam rezeki yang kita makan. Wallahu’alam.
Ya Allah, kami bersyukur dengan rezeki Mu, nikmat yang Engkau berikan ke atas kami. Masukkan kami dalam golongan orang yang sabar dan merasa cukup dengan pemberian Mu.



...dan firman Allah, “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).