Monday 7 May 2012

Suci dalam Debu

Jazakallah… Fokus pekerja kontrak memungut sampah ni sangat tinggi. Sapaan “Thank you,” aku langsung tidak diendahkan. Dari fizikal mereka, bukan lah orang tempatan. Walau dari mana asal mereka, wajib kita berterima kasih. Setidaknya ada orang sanggup bekerja ‘membersihkan’ sampah kita.
Sedang pintu rumah sampah itu ditutup, seekor makhluk bingkas terbang menyelamatkan diri. Lipas! Lansung aku teringatkan ketika zaman kolej ku dulu, pasti sahabatku Faisul bertempiaran lari keliling rumah ketakutan akan lipas terbang. Dan aku turut setuju, bukan sahabatku sahaja yang lipas-fobia, namun majority manusia benci akan lipas. Geli, busuk, jijik dan pengotor.
Pengotor ke? Seorang professor dari Taiwan tidak setuju dengan pandangan ‘pengotor’ ini. Lipas dilazimi sedemikian kerana istilah pengotor itu adalah perilaku mengetori fizikal dan sekitar dan melibatkan diri dengan suasana bersampah. Namun hakikat dalam kajiannya membuktikan lipas adalah makhluk pembersih.
Tabiat lipas menyara hidup dengan berkongsi makanan dengan manusia dan binatang peliharaan dirumah kita. Lipas tidak memilih, berkongsi makanan dirumah kita; terhidang mahupun sisa. Tetapi lipas amat pentingkan kebersihan diri. Setiap kali selesai makan dan merayau-rayau, pasti ia membersihkan seluruh badannya dari kotoran yang terpalit. Sesungut dan kaki-kakinya dijilat, muka dan seluruh badannya disapu dengan sesungutnya. Amat berbeza perilakunya dengan serangga lain seumpama lalat.
Namun hakikat disenaraikan sebagai serangga perosak mencalarkan reputasi lipas. Kajian saintifik menunjukkan lipas antara spesis klasik yang masih wujud hingga hari ini. Memiliki daya tahan tinggi terhadap suhu, cuaca dan bencana alam. Badannya mampu dipipihkan agar mampu terus hidup bila tertindih. Hanya lipas betina mampu terbang – kelebihan dalam bersaing hidup meneruskan zuriat. Allah menjadikan kantung telurnya memiliki ketahanan yang luar biasa bila dibandingkan dengan saiznya. Menghasilkan bau busuk merupakan mekanisme survival bagi lipas.
Islam mendidik kita agar sentiasa melihat kebaikan dalam sesuatu perkara. Wajarkah kita menilai pekerja kontrak memungut sampah kita itu sebagai pengotor? Dengan memberikan suatu nilai kepada makhluk yang lain kita sebenarnya member nilai terhadap diri kita sendiri. Ya Allah, rahmatilah kami dan orang-orang yang kami sayangi, berkatkan hidup mereka kerana nasihat mereka untuk kami, amin…

Pedoman Sisipan:
Sabda Nabi S.A.W., “Sesungguhnya Allah Azzawajalla adalah mulia. Ia menyukai kemuliaan. Ia juga menyukai akhlak yang tinggi dan benci akhlak yang rendah.” – Riwayat al-Tabrani